Ramadhan Al-Mubarak
Assalamualaikum w.b.t

Pertama sekali mohon maaf kepada pembaca sekalian atas keterlewatan dalam mengupdate blog ini. Almaklumlah, blog baru... Baru nak belajar selok belok dunia blogging ini. Baiklah. Lupakan hal itu seketika. Seperti yang saudara dan saudari ketahui, tanggal 22 Ogos 2009, iaitu pada hari Sabtu, yakni esok hari, adalah tanggal bermulanya puasa umat Islam, khususnya di bumi Malaysia ini. Justeru, pihak Balai Islam Kolej Sembilan Universiti Malaya menyeru kepada pembaca sekalian agar dapat mengerjakan Rukun Islam yang ketiga ini dengan sempurna.

Bersempena dengan bulan Ramadhan ini, pihak kami ada menjayakan Program Ihya' Ramadhan, di mana tempoh program ini berlangsung adalah sepanjang bulan. Pelbagai aktiviti menarik telah dirancang dan bakal dijayakan. Keterangan lanjut berkenaan program akan kami umumkan nanti dalam masa yang terdekat. Diharapkan saudari dan saudari yang berkesempatan dapat menghadirkan diri dan menjayakan program yang telah kami rancang ini bersama-sama.

Akhir kata, semoga puasa saudara dan saudari yang bakal dijalankan nanti akan mendapat pahala dan rahmat daripada Allah SWT. Ingatlah untuk menjauhi perkara-perkara yang membatalkan puasa serta perkara yang mengurangkan pahala puasa. Moga kita semua sentiasa berada di bawah naungan rahmat-Nya...

Wasaalam
Keluasan Neraka Allah
Yazid Arraqqasyi dari Anas bin Malik ra. berkata: Jibrail datang kepada Nabi saw pada waktu yg ia tidak biasa datang dalam keadaan berubah mukanya,maka ditanya oleh nabi s. a. w.: "Mengapa aku melihat kau berubah muka?"

Jawabnya: "Ya Muhammad, aku datang kepadamu di saat Allah menyuruh supaya dikobarkan penyalaan api neraka, maka tidak layak bagi orang yg mengetahui bahawa neraka Jahannam itu benar, dan siksa kubur itu benar, dan siksa Allah itu terbesar untuk bersuka-suka sebelum ia merasa aman daripadanya. "

Lalu nabi s. a. w. bersabda: "Ya Jibrail, jelaskan padaku sifat Jahannam."

Jawabnya: "Ya. Ketika Allah menjadikan Jahannam, maka dinyalakan selama seribu tahun, sehingga merah, kemudian dilanjutkan seribu tahun sehingga putih, kemudian seribu tahun sehingga hitam, maka ia hitam gelap, tidak pernah padam nyala dan baranya. Demi Allah yg mengutus engkau dengan hak, andaikan terbuka sebesar lubang jarum nescaya akan dapat membakar penduduk dunia semuanya kerana panasnya. Demi Allah yg mengutus engkau dengan hak, andaikan satu baju ahli neraka itu digantung di antara langit dan bumi nescaya akan mati penduduk bumi kerana panas dan basinya. Demi Allah yg mengutus engkau dengan hak, andaikan satu pergelangan dari rantai yg disebut dalam Al-Qur'an itu diletakkan di atas
bukit, nescaya akan cair sampai ke bawah bumi yg ke tujuh. Demi Allah yg mengutus engkau dengan hak, andaikan seorang di hujung barat tersiksa, nescaya akan terbakar orang-orang yang di hujung timur kerana sangat panasnya, Jahannam itu sangat dalam dan perhiasannya besi, dan minumannya air panas campur nanah, dan pakaiannya potongan-potongan api. Api neraka
itu ada tujuh pintu, tiap-tiap pintu ada bahagiannya yang tertentu dari orang laki-laki dan perempuan."

Nabi s. a. w. bertanya: "Apakah pintu-pintunya bagaikan pintu- pintu rumah kami?"

Jawabnya: "Tidak, tetapi selalu terbuka, setengahnya di bawah dari lainnya, dari pintu ke pintu jarak perjalanan 70,000 tahun, tiap pintu lebih panas dari yang lain 70 kali ganda." (nota kefahaman: iaitu yg lebih bawah lebih panas)

Tanya Rasulullah s. a. w.: "Siapakah penduduk masing-masing pintu?"

Jawab Jibrail: "Pintu yg terbawah untuk orang-orang munafik, dan orang-orang yg kafir setelah diturunkan hidangan mukjizat nabi Isa a. s. serta keluarga Fir'aun sedang namanya Al-Hawiyah.
Pintu kedua tempat orang-orang musyrikin bernama Jahim, pintu ketiga tempat orang shobi'in bernama Saqar. Pintu ke empat tempat Iblis dan pengikutnya dari kaum majusi bernama Ladha, pintu kelima orang yahudi bernama Huthomah.Pintu ke enam tempat orang nasara bernama Sa'eir."

Kemudian Jibrail diam segan pada Rasulullah s. a. w. sehingga ditanya: "Mengapa tidak kau terangkan penduduk pintu ke tujuh?"

Jawabnya: "Di dalamnya orang-orang yg berdosa besar dari ummatmu yg sampai mati belum sempat bertaubat.

Maka nabi s.a.w. jatuh pengsan ketika mendengar keterangan itu, sehinggaJibrail meletakkan kepala nabi s. a. w. di pangkuannya sehingga sedar kembali dan sesudah sedar nabi saw bersabda: "Ya Jibrail, sungguh besar kerisauanku dan sangat sedihku, apakah ada seorang dari ummat ku yang akan masuk ke dalam neraka?"

Jawabnya: "Ya, iaitu orang yg berdosa besar dari ummatmu."

Kemudian nabi s. a. w. menangis, Jibrail juga menangis, kemudian nabi s. a. w. masuk ke dalam rumahnya dan tidak keluar kecuali untuk sembahyang kemudian kembali dan tidak berbicara dengan orang dan bila sembahyang selalu menangis dan minta kepada Allah.(dipetik dari kitab "Peringatan Bagi Yg Lalai")

Dari Hadith Qudsi: Bagaimana kamu masih boleh melakukan maksiat sedangkan kamu tak dapat bertahan dengan panasnya terik matahari Ku. Tahukah kamu bahawa neraka jahanamKu itu:
1. Neraka Jahanam itu mempunyai 7 tingkat
2. Setiap tingkat mempunyai 70,000 daerah
3. Setiap daerah mempunyai 70,000 kampung
4. Setiap kampung mempunyai 70,000 rumah
5. Setiap rumah mempunyai 70,000 bilik
6. Setiap bilik mempunyai 70,000 kotak
7. Setiap kotak mempunyai 70,000 batang pokok zarqum
8. Di bawah setiap pokok zarqum mempunyai 70,000 ekor ular
9. Di dalam mulut setiap ular yang panjang 70 hasta mengandungi lautan racun yang hitam pekat.
10. Juga di bawah setiap pokok zarqum mempunyai 70,000 rantai
11. Setiap rantai diseret oleh 70,000 malaikat
Mudah-mudahan dapat menimbulkan keinsafan kepada kita semua.

Wallahua'lam...
Ujian Dari PENCIPTAMU, RABBUL JALIL
Ujian umpama guru yang tidak bercakap, tetapi sangat mengajar dan mendidik. Sama ada ujian itu kecil atau besar ia adalah takdir Allah. Semua ujian ada maksud tertentu tetapi kerana jahil, apabila ditimpa ujian secara langsung atau tidak, kita cepat melatah dan marah.

Justeru, kadang-kadang kita rasa Allah tidak adil atau sengaja menyusahkan kita. Kalau ujian datang dari orang, orang dendam, marah dan tidak menghormati kita, kita juga cepat dendam dan buruk sangka. Yang dahsyatnya hati kita buruk sangka pada Allah.


Nabi Muhammad s.a.w pernah dilontar dengan batu sampai berdarah ketika menyampaikan dakwah. Darah baginda s.a.w mengalir hingga ke kaki. Tapi baginda s.a.w tidak berdendam pada orang yang melakukannya. Kita pulak konon-kononnya berbangga menjadi umat baginda s.a.w, tapi bila diuji sikit je atau orang buat khianat, dah mula nak berdendam. Wallahu yuhibbussobirin. Renungkan...


Sebenarnya Allah Maha Pengasih, Maha Penyayang. Jauh sekali takdir Allah untuk menyusahkan hamba-Nya. Ujian sebenarnya untuk melatih kita memiliki sifat-sifat terpuji seperti sabar, reda, tawakal, baik sangka, mengakui diri sebagai hamba yang lemah, supaya kita makin susah makin dekat dengan Allah, makin mengharap pada pertolongan Allah.


Cuba fikir, tentu kita suka bila orang lain luahkan masalah pada kita. Menunjukkan bahawa kita adalah orang yang dipercayai oleh orang tersebut. Suka x bila orang lain beri kepercayaan pada kita? Dah tentu jawapannya SUKA. TAPI!!!!!! Allah lagi suka bila kita ingat pada-Nya. Sebab itulah Allah selalu bagi ujian pada kita. Supaya kita sentiasa ingat pada-Nya. Kalau kita sentiasa senang, mungkin kita lupa pada Allah.


Ujian hidup juga mengajar kita merasai dunia hanya nikmat sementara. Ujian juga menanamkan akidah betapa berkuasa Allah. Apa kuasa Allah? Allah boleh memberi dan mengambil bila2 masa. Setiap ujian menunjukkan Allah boleh memberi dan mengambil di mana sahaja. Ujian juga mengajar kita membesarkan Allah, boleh memberi dan mengambil apa cara sekalipun.


Jadi, dengan ujian kita makin dekat dengan Allah. Dengan ujian juga menanam sikap supaya berasa diri berdosa. Sebab tu bila kita susah, kita biasa nya akan ingat pada Allah. Ingat Allah adalah satu rezeki malah satu ibadah. Senang dan kaya kadang-kadang membawa alpa, maka dengan ujian kita akan ingat pada Allah. Cuba renungkan... masa kita senang, adakah kita ingat pada Allah?


Ujian umpama guru, mengajar kita supaya tidak tenggelam dalam dosa dan noda. Kadangkala juga bentuk ujian kesalahan dan dosa yang kita lakukan diketahui ramai orang. Sebenarnya bukan untuk Allah menghina kita, tetapi untuk memberikan peringatan supaya kita bertaubat dan tidak meneruskan dosa itu. Memang kadang-kadang dosa itu sebenarnya pembalasan dan hukuman. Kita semua tahu setiap perbuatan dosa mesti dihukum sama ada di dunia atau akhirat.


Insan yang dikasihi Allah akan menerima hukuman di dunia dan Allah selamatkan di akhirat. Cara hukuman di dunia ada pelbagai, antaranya di datangkan kesusahan, kesedihan, penderitaan, kehilangan orang tersayang, kesakitan, kemiskinan, kehilangan pengaruh, hilang kuasa dan macam-macam lagi ujian.

Sekiranya kita boleh bersabar dan reda, kita bukan saja makin hebat, malah dosa digugurkan dan kedudukan kita di sisi Allah makin tinggi. Kalau mengeluh, tidak reda, merungut dan memberontak akan menambahkan lagi dosa kita.

Begitulah Allah Maha Pengasih dan Maha Penyayang terhadap hambanya. Bila Allah sayang pada seseorang, Allah akan bagi ujian. Makin sayang Allah pada seseorang, makin berat ujian Allah. Allah tidak hukum kita di akhirat kerana penderitaan di neraka berpuluh kali ganda lebih dahsyat.


Jadi kalau kita ditimpa kesusahan, anggaplah itu balasan yang menyelamatkan kita di akhirat. Kalau kita ditakdirkan miskin sebenarnya Allah nak latih diri kita sabar dan reda. Allah tidak takdirkan kita kaya sebab Allah sudah tahu kalau kita kaya, kita akan jadi sombong, bakhil dan mudah terdedah dengan dosa kekayaan.
Mukadimah
Assalamualaikum w.b.t…

Tinta ini adalah sebagai pembuka santapan ilmiah perkara-perkara berkaitan Islam yang bakal saudara dan saudari sekalian cerna daripada blog kami ini. Apa sahaja artikel mahupun pengumuman berkenaan dunia Islam dan usaha dakwah akan kami terbitkan melalui blog ini. Seperti sahaja tajuk blog ini, kami akan cuba menjadikan Islam itu sebagai suatu yang sangat memberi inspirasi buat saudara dan saudari dalam menempuh kehidupan yang penuh dengan liku dan cabaran ini. Kami pasti saudara dan saudari sudah sedia maklum akan cabaran dan rintangan yang Islam sentiasa terima sejak dari awal penyebarannya oleh junjungan kita Nabi Muhammad S.A.W hinggalah ke hari ini. Walau bagaimanapun, Islam itu sudah, masih dan akan kekal menjadi pegangan umat Muhammad sehinggalah tibanya hari kiamat.

Selain itu, melalui blog kami ini, kami akan memaparkan setiap aktiviti dan program yang dianjurkan oleh Balai Islam Kolej Kesembilan Universiti Malaya. Jadi, saudara dan saudari sekalian dapat mengetahui segala penglibatan kami melalui program yang dianjurkan. Bagi ceramah atau forum yang dianjurkan, kami akan meletakkan informasi berkenaan dengannya di blog ini di samping poster dan “flyers” yang disebarkan secara manual. Diharapkan saudara dan saudari turut boleh terlibat sama dalam program yang dianjurkan untuk memeriahkan lagi program Islamik yang kami anjurkan.

Akhir kata, sebarkanlah kewujudan blog ini kepada rakan dan teman baik saudara dan saudari sekalian. Menyebarkan perkara baik adalah sama seperti mengerjakan amar makruf. Moga blog ini dapat memberi manfaat kepada mereka dan juga saudara dan saudari sekalian. Dan ingat juga bahawa “Islam Itu Inspirasi” kita semua.

Wallahualam…
  • Memori Bersama

    Memori Bersama

    Solat Tiang Agama

    Masa Kian Berlalu

    Kalendar Islam

  • Bicara Teman


    ShoutMix chat widget

    Rakan Islam Kita